GEOJE ISLAND (Korea Selatan), 25 November 2026 (The Capital Post) – Kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung ketiga Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PFLNG Tiga, dijangka meningkatkan kapasiti bekalan LNG syarikat itu serta memenuhi permintaan pelanggan di pelbagai pasaran apabila memulakan operasi komersial pada suku ketiga 2027.
Petronas merancang memasarkan beberapa kargo LNG terawal yang dihasilkan kemudahan itu melalui pasaran semerta sebelum menggabungkan bekalan seterusnya ke dalam portfolio LNG syarikat yang lebih luas.
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Perniagaan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli, berkata pengeluaran daripada kemudahan berkapasiti dua juta tan setahun di Sipitang, Sabah, akan menjadi sebahagian daripada portfolio bekalan LNG kumpulan itu.
“Kami percaya pasaran akan terus kukuh pada tahun depan dan kargo yang dihasilkan daripada PFLNG Tiga akan menjadi agak menarik kepada pasaran sepanjang tempoh berkenaan,” katanya kepada media pada sesi taklimat sempena majlis penamaan kemudahan itu di limbungan kapal Samsung Heavy Industries di sini.
PFLNG Tiga, yang dinamakan secara rasmi pada majlis berkenaan, merupakan kemudahan LNG terapung berhampiran pantai pertama di dunia dan akan ditempatkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Sabah.
Adif berkata kemudahan itu akan menyediakan saluran tambahan untuk mengkomersialkan sumber gas di Sabah, sekali gus menggalakkan lebih banyak aktiviti penerokaan dan pembangunan sektor huluan.
Menurutnya, pembangunan berkenaan turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pangkalan utama bekalan LNG Petronas, disokong pelaburan dalam sumber huluan serta keupayaan pengeluaran LNG terapung.
Petronas menyasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran LNG kepada 55 juta tan setahun (mtpa) menjelang 2035 berbanding kira-kira 40 juta mtpa ketika ini.
PFLNG Tiga akan menyumbang tambahan kapasiti sebanyak dua juta tan setahun kepada operasi sedia ada, sekali gus memberikan fleksibiliti bekalan lebih besar ketika permintaan LNG terus meningkat, khususnya di rantau Asia Pasifik.
Ketika ini, Petronas mempunyai kapasiti pengeluaran LNG tahunan kira-kira 29.3 juta tan di Bintulu, Sarawak. Dua lagi kemudahan terapungnya di Sabah, iaitu PFLNG Satu dan PFLNG Dua, masing-masing mempunyai kapasiti 1.2 juta tan dan 1.5 juta tan setahun.
Adif berkata permintaan LNG global dijangka meningkat daripada kira-kira 500 juta tan ketika ini kepada antara 650 juta hingga 700 juta tan menjelang 2040.
Peningkatan itu sebahagiannya didorong peralihan penggunaan arang batu dalam sektor penjanaan tenaga serta pertambahan keperluan tenaga bagi pusat data di rantau Asia Pasifik.
PFLNG Tiga Dijadual Beroperasi Pada 2027
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Aset LNG Petronas, Abang Yusuf Abang Puteh, berkata PFLNG Tiga dijadual belayar dari Geoje ke Sipitang pada Februari 2027, tertakluk kepada penyelesaian kerja integrasi, pengujian dan persiapan untuk penempatan di laut.
Beliau berkata proses pentauliahan akan bermula selepas kemudahan itu tiba di Sabah dan disambungkan kepada bekalan gas, tenaga serta infrastruktur sokongan di darat.
Kemudahan berkenaan akan melalui beberapa peringkat, termasuk pentauliahan sistem, penyaluran gas, permulaan operasi dan peningkatan pengeluaran sebelum memulakan operasi komersial pada suku ketiga 2027.
Pengeluaran LNG daripada PFLNG Tiga akan disalurkan ke pasaran eksport, manakala permintaan gas domestik di Sabah akan terus dipenuhi menerusi bekalan gas berpaip.
Pasaran eksport utama LNG Petronas termasuk Jepun, Korea Selatan dan China. Adif berkata syarikat itu masing-masing menguasai bahagian pasaran kira-kira 16 peratus, 14 peratus dan 10 peratus di negara berkenaan.
Petronas turut memperluas kehadirannya di pasaran LNG yang sedang berkembang pesat, termasuk menerusi penghantaran kargo pertamanya ke Vietnam pada April 2025 serta lebih 180 kargo ke Thailand.
Bekalan Gas Untuk Tempoh 20 Tahun
-Advertisement-
Adif berkata Petronas telah memperoleh bekalan gas bagi PFLNG Tiga untuk tempoh 20 tahun, dengan sumber gas suapan diperoleh terutamanya daripada kelompok Kebabangan di luar pesisir Sabah.
Kelompok itu ketika ini menghasilkan kira-kira 300 juta kaki padu standard gas sehari (MMscfd), dengan sekitar 170 MMscfd disalurkan kepada PFLNG Satu.
Pengeluaran akan ditingkatkan secara berperingkat bagi memenuhi keperluan PFLNG Satu, PFLNG Tiga serta pasaran gas domestik Sabah.
Beliau berkata Pengurusan Petroleum Malaysia turut menggalakkan aktiviti penggerudian dan penerokaan lanjut bagi membangunkan sumber gas tambahan yang boleh disambungkan kepada sistem saluran paip sedia ada.
Adif menjelaskan kerja penyahoperasian yang dirancang bagi Sektor 2 Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) di Sarawak tidak akan menjejaskan bekalan gas kepada PFLNG Tiga kerana bahagian saluran paip yang membekalkan gas ke Sipitang akan terus beroperasi.
Abang Yusuf pula berkata konfigurasi PFLNG Tiga yang terletak berhampiran pantai membolehkan kemudahan itu memanfaatkan infrastruktur darat bagi bekalan elektrik, penyelenggaraan, pergudangan dan fungsi sokongan lain.
Pembangunan itu turut merangkumi jeti, kemudahan sokongan darat, infrastruktur bekalan tenaga khusus serta saluran paip gas asli sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan diameter 24 inci.
Berbeza daripada kemudahan LNG terapung Petronas yang terletak di luar pesisir, PFLNG Tiga tidak memerlukan kuarters penginapan, dek helikopter atau sistem penjanaan elektrik menggunakan turbin gas di atas kemudahan tersebut. Reka bentuk itu membolehkan lebih banyak ruang digunakan untuk peralatan pengeluaran LNG.
Abang Yusuf berkata kemudahan itu akan menggunakan turbin gas aeroderivatif LM9000 bagi proses pencairan LNG, yang menawarkan kecekapan kitaran ringkas sebanyak 44 peratus berbanding 41 peratus bagi PFLNG Satu dan 42.5 peratus bagi PFLNG Dua.
Teknologi pelepasan rendah kering pada turbin berkenaan direka untuk mengurangkan pelepasan nitrogen oksida. LM9000 pula akan berfungsi sebagai pemacu mekanikal bagi pemampat pencairan gas dan bukannya menjana tenaga elektrik.
PFLNG Tiga dilengkapi peralatan bahagian atas dek seberat kira-kira 40,000 tan yang merangkumi 11 modul utama.
Menurut Abang Yusuf, reka bentuk berhampiran pantai itu turut memudahkan akses bagi kerja penyelenggaraan, meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan keperluan infrastruktur sokongan di atas kemudahan berkenaan.
Petronas Perluas Portfolio LNG Global
Selain di Malaysia, Adif berkata Petronas turut memperluas portfolio LNG global menerusi pelaburan dan pengaturan bekalan di Kanada serta Amerika Syarikat (AS).
LNG Canada telah menghasilkan lebih 100 kargo sejak memulakan operasi, manakala keputusan pelaburan akhir bagi pengembangan Fasa 2 projek itu dibuat pada penghujung September 2026.
Pengembangan berkenaan dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran LNG Canada, sekali gus menambah bekalan kepada portfolio Petronas.
Syarikat itu turut mendapatkan bekalan LNG tambahan daripada projek Cedar LNG di Kanada serta mempunyai pengaturan pembelian LNG daripada pengeluar di sepanjang pesisir Teluk AS.
Adif berkata Petronas sedang membangunkan portfolio bekalan yang lebih pelbagai dengan menyasarkan nisbah 80:20 antara bekalan sendiri dengan pembelian daripada pihak ketiga, selain antara jualan jangka panjang dengan jualan di pasaran semerta.
Syarikat itu turut menyasarkan nisbah sama, iaitu 80:20, bagi pembahagian pasaran antara rantau Pasifik dengan Atlantik. – The Capital Post