PPM Sabah Bongkar Penyelewengan Diesel RM2.08 Juta

Estimate Reading Time: < 1 minute

SANDAKAN 10 September 2026 (The Capital Post) – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah melalui PPM Sandakan berjaya membongkar kegiatan disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi di sebuah jeti di Sandakan, semalam.

Operasi yang dijalankan kira-kira 3.55 petang itu digerakkan susulan maklumat orang awam sebelum pasukan risikan mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel dari sebuah kapal kargo ke lori tangki berkenaan. Dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan diesel daripada pembekal yang sah.

Dalam operasi tersebut, PPM merampas sebuah kapal kargo jenis besi, sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter, kira-kira 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Nilai keseluruhan rampasan membabitkan kapal, kenderaan, minyak diesel dan peralatan lain dianggarkan berjumlah RM2,082,760.00. Kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.

-Advertisement-

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 112 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan 103 tangkapan serta nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25,869,045.30.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah berkata pihaknya akan terus mempergiat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Beliau turut menghargai kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan yang dapat membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan melanggar undang-undang. – The Capital Post