PPZ-MAIWP sumbang pelitup muka kepada pelajar sekolah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyumbangkan pelitup muka kepada 300 pelajar asnaf dan keluarga berpendapatan rendah (B40) di enam sekolah di sini.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, sumbangan tersebut membabitkan nilai peruntukan keseluruhan berjumlah RM4,470.

Beliau berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Rampai, SK Pendidikan Khas Jalan Peel, SK Wangsa Maju Seksyen 10 dan SK Segambut.

“Manakala sekolah lain yang turut menerima sumbangan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras dan SMK Raja Ali,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelitup Muka di Dewan SK Wangsa Maju Seksyen 10 di sini semalam.

-Advertisement-

Ahmad Shukri berkata, sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Khaira PPZ-MAIWP itu dilakukan bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa dan pihak sekolah dalam menyediakan pelitup muka terutama bagi membantu anak-anak golongan kurang berkemampuan.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa anak-anak ini untuk membeli pelitup muka yang sudah menjadi satu perkara wajib ada untuk setiap isi rumah.

“Ini secara tidak langsung menyokong arahan kerajaan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi pandemik Covid-19,” katanya. -SINAR HARIAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373