PUTRAJAYA 12 September 2026 (The Capital Post) – Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan Program Kayuh Sihat BPTM 2026 di Taman Wetland, Putrajaya sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga kementerian.
Program yang berlangsung pada 11 September itu disertai seramai 30 warga BPTM menerusi aktiviti berbasikal dan rekreasi yang dirangka bagi meningkatkan kecergasan fizikal serta mewujudkan suasana kerja yang lebih sihat dan positif.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Agenda Nasional Sihat (ANMS) MOSTI 2026, selain diadakan bersempena sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS).
Selain memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan kecergasan, program tersebut turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga BPTM melalui aktiviti santai yang menggalakkan interaksi dan kebersamaan.
-Advertisement-
Penganjuran aktiviti berbasikal dan rekreasi itu juga dilihat dapat memupuk semangat kerjasama serta kekitaan dalam kalangan peserta, selaras dengan usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam persekitaran kerja.
Program Kayuh Sihat BPTM 2026 mencerminkan komitmen MOSTI dalam menyokong inisiatif kesihatan warga kerja serta menggalakkan penyertaan aktif dalam kegiatan fizikal sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan seharian – The Capital Post