PAKAN 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Pakan, Sarawak, melaksanakan Program Teduhan Kasih RELA MADANI (TKRM) menerusi aktiviti gotong-royong membaik pulih kediaman seorang anggota bagi membantu menyediakan persekitaran tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
Program yang berlangsung pada 9 Oktober lalu di Rumah Ragai Rantau Jerenang itu melibatkan kediaman Juti anak Tedong, anggota RELA aktif yang turut berkhidmat sebagai petugas tetap di Pejabat RELA Daerah Pakan.
Aktiviti berkenaan turut dihadiri Pegawai RELA Daerah Pakan, PPgKR Marcellinus anak Kabuh, serta disertai 19 anggota RELA yang berganding bahu menjayakan kerja-kerja pembaikan dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Antara kerja yang dilaksanakan termasuk menggantikan rangka, papan dinding dan lantai dapur, selain membaiki atap zink dapur serta menggantikan pintu hadapan dan tingkap dapur yang memerlukan penambahbaikan.
-Advertisement-
Program TKRM bertujuan membantu anggota RELA yang kurang berkemampuan, khususnya golongan miskin, melalui sumbangan tenaga dan usaha membaik pulih kediaman bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan tempat tinggal mereka.
Juti anak Tedong bersama keluarganya turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat RELA Daerah Pakan dan semua anggota yang terlibat atas bantuan serta kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan kerja pembaikan.
Pelaksanaan program ini mencerminkan semangat keprihatinan, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan warga RELA, sekali gus memperlihatkan komitmen organisasi itu dalam menjaga kebajikan anggotanya menerusi pendekatan komuniti dan semangat gotong-royong – The Capital Post