RXZ Members, JSPT Jalin Kerjasama Keselamatan Jalan Raya

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada komuniti RXZ Members dalam satu sesi pertemuan rasmi yang berlangsung di Bukit Aman, semalam.

Delegasi komuniti motosikal tersebut diketuai oleh Mohd Lukhman bin Nooral Azhar selaku Pengarah Program Pengurusan RXZ Members, bersama dua lagi wakil iaitu Mohd Ridzwan Idris dan Wan Ahmad Khadil bin Wan Sulaiman, yang hadir bagi mewakili komuniti berkenaan.

Sesi kunjungan tersebut disambut oleh Pengarah JSPT, YDH Dato’ Sri Muhammed Hasbullah bin Ali bersama barisan kepimpinan kanan jabatan, sebelum kedua-dua pihak memulakan sesi perbincangan secara rasmi di Bilik Mesyuarat Utama JSPT.

Pertemuan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara komuniti penunggang motosikal dan pihak polis, di samping membincangkan usaha bersama dalam meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta pematuhan undang-undang trafik dalam kalangan pengguna jalan raya.

Sepanjang sesi tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peranan komuniti dalam menyokong kempen keselamatan jalan raya, termasuk pelaksanaan program advokasi, pendidikan trafik serta aktiviti kemasyarakatan yang boleh memperkukuh kesedaran awam.

-Advertisement-

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada isu budaya menunggang secara berhemah, pematuhan peraturan jalan raya serta langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan khususnya melibatkan penunggang motosikal.

Kunjungan hormat itu mencapai objektifnya apabila berjaya membuka ruang kerjasama lebih luas antara JSPT dan komuniti RXZ Members, selain memperkukuh jaringan komunikasi dua hala dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.

Program diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan sesi fotografi sebagai simbolik hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua pihak – The Capital Post