Saudara baharu OKU penglihatan, celik IT

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Fasih berbahasa Melayu, petah dan tidak kekok berkongsi cerita mengenai sesuatu topik, membuatkan hampir setiap video yang dimuat naik oleh saudara baharu ini di TikTok meraih ratusan ribu tontonan pengguna media sosial itu.

-Advertisement-

Lebih teruja, Loh Boon Keat, 23, adalah orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir, tangkas mengendalikan segala berkaitan teknologi menggunakan pembaca layar Non Visual Desktop Access (NVDA) di Windows, Google TalkBack di Android serta VoiceOver di iOS) hingga mendapat perhatian umum.

Berperwatakan ringkas dan mudah mesra, dia mula berminat dengan teknologi pada 2013.

Katanya, selepas menamatkan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di Johor Bahru, dia melanjutkan pelajaran di Maktab Sultan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai English College (2013 hingga 2017).

“Keluarga memberikan saya komputer riba. Selepas tahu kedudukan papan kekunci dan mengenali serba sedikit mengenai interface Windows Operating System, saya berani buat apa sahaja untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

“Saya akan explore apa saja. Pernah sehingga komputer riba saya tiada bunyi. Saya ingat sudah rosak, tetapi kawan saya betulkan semula dan boleh digunakan. Dari situ bermulanya pembelajaran saya tentang Windows Operating System secara mendalam.

“Saya mula belajar cara memasang aplikasi termasuk pembaca layar dan banyak lagi. Saya berterima kasih kepada kawan dan cikgu yang mengajar saya semuanya.

“Bagi telefon pintar, lebih sebulan saya belajar sendiri untuk memahirkan penggunaan Android Operating System,” katanya ketika ditemui di Taman Desa Jaya, di sini, baru-baru ini.

Mudah pelajari teknologi

Mengulas lanjut bagi penggunaan teknologi dan fungsi Braille Screen Input bagi golongan OKU penglihatan, katanya, tidak sukar bagi mereka belajar menggunakannya kerana kebanyakan sudah mahir dengan mesin Braille.

“Saya juga mengajar rakan senasib untuk menaip menggunakan fungsi Braille Screen Input yang tersedia pada pembaca layar Android serta iOS.”

“Ada yang saya ajar secara berdepan. Saya minta mereka pegang jari saya bagi mengetahui kedudukan sebenar jari untuk menaip guna Braille Screen Input.

-Advertisement-

“Kalau nak buat video dan hantar pun tak boleh, mereka juga OKU penglihatan, macam mana hendak lihat video? Jadi sama ada mengajar secara langsung ataupun saya akan buat audio tutorial dan mereka ikut langkah yang saya tunjukkan satu persatu,” jelasnya yang memeluk Islam sejak 17 Oktober 2016.

Mengenai dirinya, anak tunggal kelahiran Batu Pahat dan dibesarkan di Johor Bahru, tidak pernah kesal diri kecacatan sejak lahir.

Ketika ditemui, Boon Keat baharu pulang menunaikan umrah, pada hujung bulan lalu.

Hatinya tenang sepanjang berada di bumi Makkah, biarpun diuji demam ketika berada di bumi suci itu.

“Pengalaman menunaikan umrah, tidak mungkin dilupakan apabila dapat pegang Kaabah. Saya rasa sangat bertuah.

“Saya tidak boleh gambarkan dengan kata-kata. Alhamdulillah saya dikurniakan mutawif yang sangat membantu sepanjang saya berada di sana.

“Syukur juga saya dapat solat di Hijir Ismail. Mak tahu saya mahu pergi menunaikan ibadah umrah, dia tidak menghalang dan menyediakan kelengkapan seperti pasport,” katanya yang menetap di Bangi, Selangor bersama keluarga angkat.

Menurut Boon Keat, dia sentiasa berfikiran Islam sangat memudahkan urusan umatnya.

“Saya suka mendengar ceramah yang besertakan dalil daripada al-Quran dan hadis, tetapi kena berhati-hati sebab ada juga yang memberi hadis palsu.

“Ramai yang tanya saya, kenapa tidak tukar nama Islam. Pada saya Islam tidak mensyaratkan perlu tukar nama,” katanya ringkas.
-BeritaHarian