Semua peperiksaan kendalian Jawi tahun ini batal

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM – Semua peperiksaan kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi sesi persekolahan 2020 dijadualkan pada 28 September sehingga 1 Oktober depan dibatalkan.

-Advertisement-

Dalam kenyataan Jawi hari ini memaklumkan, semua sesi persekolahan Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) juga akan mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid serta guru-guru terjamin.

“Pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada ilmu-ilmu diniyah yang diikuti bermula dari Tahun 1 hingga 6.

“Kemenjadian murid-murid di dalam pendidikan ilmu-ilmu diniyah mampu dinilai melalui pelbagai kaedah.

“Justeru, bagi tujuan ini, Jawi akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut,” kata kenyataan itu.

Jawi merakamkan penghargaan kepada semua guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap dilaksanakan kepada lebih kurang 63,000 pelajar SRA, SIRAJ, KAFA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-Advertisement-

Terdahulu, KPM memutuskan untuk membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan tersebut akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Sementara itu, Jakim turut membatalkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi subjek bertulis dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober depan di seluruh negara.

-Sinar Harian