LONDON: Seorang lagi doktor dari hospital di pusat penyebaran wabak coronavirus (COVID-19) dilaporkan dijangkiti dan kini menerima rawatan.
Media rasmi melaporkan, ketua di Hospital No 8 Wuhan dikenali sebagai Dr Wang Ping, kini dirawat di Hospital Jinyintan.
Pada 18 Februari lalu, pengarah Hospital Wuchang di Wuhan meninggal dunia akibat penyakit terbabit, selepas sekian lama bertungkus-lumus membantu menangani penyebaran wabak itu.
Sehingga kini, COVID-19 meragut nyawa tujuh petugas kesihatan dan menjangkiti lebih 1,700 pekerja lain di China.
Jangkitan ke atas Dr Wang kali pertama dilaporkan oleh Beijing News, yang memetik sumber dalam Hospital No 8 Wuhan.
Laporan berkenaan turut disiarkan oleh China News.
Sementara itu, satu mesej tular di media sosial China, yang menyatakan semua doktor kian terdesak dalam memperoleh bekalan plasma darah sebagai usaha menyelamatkan Dr Wang.
Pihak berkuasa China turut menggesa pesakit yang pulih menderma darah kerana plasma mereka dikatakan mengandungi antibodi yang mampu mematikan virus terbabit.
Jurucakap Hospital No 8 ketika dihubungi mengesahkan bahawa Dr Wang dijangkiti COVID-19 dan kini menerima rawatan.
Hospital itu bagaimanapun tidak memberi sebarang komen berhubung keadaan terkini doktor berkenaan. – AGENSI – Berita Harian