SIRIM QAS Diiktiraf Bagi Standard AS9110

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – SIRIM QAS International Sdn Bhd, anak syarikat SIRIM Bhd, mencipta pencapaian penting apabila menjadi badan pensijilan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang memperoleh akreditasi bagi standard AS9110, iaitu Sistem Pengurusan Kualiti – Keperluan bagi Organisasi Penyelenggaraan Penerbangan.

AS9110 merupakan standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi organisasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan, dengan menetapkan keperluan berkaitan kelayakan terbang, keselamatan penerbangan, perancangan dan pelaksanaan penyelenggaraan, pemeriksaan, pengujian serta pengurusan risiko.

Standard itu turut merangkumi aspek faktor manusia, kebolehkesanan dan kawalan data teknikal bagi memastikan kualiti serta keselamatan operasi penyelenggaraan penerbangan.

Menurut SIRIM dalam satu kenyataan, akreditasi berkenaan membolehkan organisasi yang memenuhi syarat mendapatkan pensijilan bertauliah menerusi SIRIM QAS International.

Organisasi yang layak termasuk penyedia perkhidmatan penyelenggaraan pesawat dan helikopter, kemudahan baik pulih enjin, organisasi pembaikan komponen dan avionik serta penyedia perkhidmatan penyelenggaraan penerbangan pertahanan.

Menurut kenyataan itu, AS9110 melengkapi peraturan penerbangan berkaitan yang ditadbir pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).

Antara syarikat yang telah memperoleh pensijilan di bawah Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa itu ialah Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Pecca Aviation Services Sdn Bhd.

Pengerusi SIRIM, Datuk Dr. Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata pencapaian tersebut akan memperkukuh keupayaan penilaian pematuhan Malaysia serta menyediakan laluan pensijilan bertauliah kepada organisasi MRO yang layak, selaras dengan keperluan pengurusan kualiti aeroangkasa antarabangsa.

Beliau berkata setiap komponen, prosedur penyelenggaraan dan proses operasi perlu memenuhi keperluan teknikal yang ketat kerana kegagalan dari aspek kualiti bukan sahaja boleh mengakibatkan kerugian komersial, malah berpotensi menjejaskan keselamatan operasi serta keyakinan orang ramai.

“Inilah sebabnya standard aeroangkasa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa amat penting. Bagi syarikat Malaysia yang berhasrat menjadi pembekal kepada pengeluar dan pengendali aeroangkasa utama antarabangsa, pematuhan terhadap keperluan ini semakin penting.

“Ia membuktikan kecekapan teknikal, meningkatkan keyakinan pelanggan dan memperkukuh penyertaan dalam rantaian bekalan antarabangsa yang tertakluk kepada kawal selia ketat,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis SIRIM Industri 2026 di sini, malam tadi.

-Advertisement-

Khairol Anuar berkata pengukuhan keupayaan pensijilan domestik turut memberikan manfaat praktikal, termasuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan penilaian pematuhan khusus, menyokong pembangunan kepakaran teknikal tempatan dan mengurangkan kebergantungan syarikat Malaysia terhadap penyedia perkhidmatan luar negara.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan SIRIM untuk terus memperluas keupayaan pensijilan, pengujian dan teknikal berkaitan aeroangkasa serta memastikan perkhidmatan pensijilannya kekal selaras dengan perkembangan standard antarabangsa, kemajuan teknologi dan keperluan industri.

Beliau turut menggalakkan penyedia perkhidmatan MRO dan pengeluar aeroangkasa tempatan supaya terus melabur dalam pembangunan tenaga kerja mahir, pendigitalan, penambahbaikan proses serta amalan penyelenggaraan canggih.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain serantau yang berdaya saing dalam sektor MRO.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat peluang besar untuk negara memperluas aktiviti sektor berkenaan melangkaui penyelenggaraan pesawat konvensional kepada bidang yang lebih khusus dan bernilai tinggi, termasuk pembaikan enjin serta komponen.

“Matlamat kita perlu melangkaui usaha menarik pemain aeroangkasa global yang sudah mantap untuk beroperasi di negara ini.

“Kita perlu membangunkan ekosistem syarikat Malaysia yang mempunyai keupayaan sehingga menjadi rakan penting dalam rantaian bekalan aeroangkasa global,” katanya dalam ucaptama pada majlis berkenaan.

Pada 2025, SIRIM QAS International menyediakan perkhidmatan kepada lebih 7,000 pelanggan menerusi Skim Pensijilan Sistem Pengurusan dan mengeluarkan sebanyak 653 sijil baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, enam syarikat turut menerima pengiktirafan menerusi skim Pengurusan Lean dan Green 5S oleh SIRIM Academy. – The Capital Post