KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 (The Capital Post) – Puan Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia yang ke-10 berkuat kuasa 15 Julai 2026.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, menerima kunjungan hormat daripada Puan Siti Asiah pada 16 Julai 2026 bagi membincangkan hala tuju strategik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem statistik negara agar lebih moden, responsif dan diyakini, khususnya dalam menyokong perancangan pembangunan negara berasaskan data dan bukti.
Dengan pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi, sosial serta transformasi digital, pelantikan Puan Siti Asiah diyakini dapat memperkukuh peranan DOSM sebagai institusi utama penyedia statistik rasmi negara.
-Advertisement-
Kementerian Ekonomi turut menzahirkan keyakinan bahawa DOSM akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan data berkualiti bagi menyokong penggubalan dasar serta pembangunan negara.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi Kementerian Ekonomi, Puan Siti Asiah diharapkan dapat meneruskan kecemerlangan DOSM dalam memperkasa sistem statistik negara serta memacu penggunaan data dalam perancangan pembangunan. – The Capital Post