KUALA LUMPUR, 5 Mei 2026 (The Capital Post) — Perbelanjaan subsidi bahan api negara mencatatkan peningkatan ketara apabila melonjak daripada sekitar RM700 juta kepada RM5 bilion sebulan setakat April 2026, menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Kementerian Kewangan Malaysia.
Menurut hantaran rasmi itu, peningkatan mendadak berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan kestabilan harga bahan api serta melindungi kebajikan rakyat di tengah cabaran ekonomi semasa.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa penyusunan semula perbelanjaan Kerajaan akan dilaksanakan secara berhemah, tanpa menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.
Dalam hantaran Facebook rasmi Kementerian Kewangan Malaysia itu juga, Kerajaan memaklumkan bahawa harga bahan api di bawah inisiatif BUDI95 kekal pada kadar RM1.99 seliter. Subsidi diesel pula terus diberikan secara bersasar, termasuk bantuan tunai diesel kepada golongan yang layak.
-Advertisement-
Kementerian turut menegaskan bahawa langkah pengoptimuman fiskal akan terus diperkukuh dengan menyelaraskan perbelanjaan mengikut keutamaan semasa, selain memberi tumpuan kepada keperluan kritikal rakyat.
“Kerajaan komited memastikan setiap perbelanjaan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, sambil mengekalkan disiplin fiskal negara,” menurut kenyataan tersebut.
Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan Kerajaan dalam menyeimbangkan antara keperluan perlindungan sosial dan pengurusan kewangan negara yang mampan. – The Capital Post