Tiga Nelayan Hilang Selepas Vesel Tenggelam di Perairan Langkawi

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR, 11 November 2026 (The Capital Post) – Tiga nelayan dilaporkan masih hilang manakala seorang kru berjaya diselamatkan selepas sebuah vesel nelayan tenggelam di perairan Kuala Teriang, Langkawi, Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kru yang terselamat dikenali sebagai Basri Mohd Nor, 47, selepas diselamatkan oleh sebuah vesel nelayan tempatan berhampiran lokasi kejadian.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Mohamad Shukri berkata, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sedang giat dijalankan bagi mengesan tiga lagi kru vesel bernombor pendaftaran KF 5420 (B) yang masih hilang.

Beliau memaklumkan bahawa vesel berkenaan kali terakhir dapat dihubungi kira-kira jam 11.33 malam Ahad ketika berada pada kedudukan sekitar lapan batu nautika ke barat Pulau Burau, Langkawi.

Antara mangsa yang masih hilang ialah tekong vesel, Kee Swee Kiat, 51, manakala identiti dua lagi kru belum dapat dipastikan.

Operasi pencarian disambung semula pada jam 7.30 pagi Rabu dengan penglibatan aset Maritim Malaysia, iaitu KM Sugut dan Bot Kilat 6, selain aset PLC 5 milik Pasukan Polis Marin (PPM).

-Advertisement-

Menurut Mohamad Shukri, kawasan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor berdasarkan Sistem SAROPS bagi memastikan operasi dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Pusat Kawalan Hadapan (PHC) turut ditubuhkan di Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi untuk menyelaraskan pergerakan aset, penugasan anggota serta perkembangan operasi pencarian.

Beliau berkata, Maritim Malaysia turut mempergiat usaha mengesan mangsa menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan dan komuniti maritim setempat bagi memperluas kawasan pencarian.

Orang ramai, khususnya komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian, diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999 bagi membantu operasi pencarian.– The Capital Post