KANOWIT, 2 September 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib mengadakan lawatan rasmi ke Daerah Kanowit, Sarawak menerusi Jelajah Kesihatan Borneo Siri 4 bagi meninjau operasi serta penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan.
Lawatan tersebut merangkumi kunjungan ke Hospital Kanowit dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kanowit, selain sesi taklimat mengenai operasi perkhidmatan kesihatan yang disampaikan oleh kepimpinan kesihatan daerah.
Hospital Kanowit merupakan hospital daerah tanpa pakar berkapasiti 100 katil yang menyediakan perkhidmatan kecemasan, pesakit luar dan dalam, pembedahan, hemodialisis serta rehabilitasi kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, PKD Kanowit bertanggungjawab menyelaras perkhidmatan kesihatan primer dan kawalan penyakit untuk kira-kira 24,700 penduduk melalui rangkaian klinik kesihatan di daerah berkenaan.
-Advertisement-
Dalam lawatan itu, Hanifah turut meninjau kemudahan kesihatan serta menyantuni petugas yang menjalankan tanggungjawab di fasiliti kesihatan daerah.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Kanowit menerusi peningkatan infrastruktur, pengisian tenaga kerja dan penambahbaikan kemudahan logistik bagi memastikan penduduk luar bandar dan pedalaman memperoleh akses kesihatan yang berkualiti, selamat dan saksama. – The Capital Post