TotalEnergies Mulakan Pembinaan Projek Solar 30MW di Kedah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2026 (The Capital Post)TotalEnergies bersama M K Land Holdings Berhad mengumumkan kejayaan mencapai penutupan kewangan bagi projek loji tenaga solar berkapasiti 30 MWac di Kulim, Kedah, sekali gus memulakan fasa pembinaan projek tenaga boleh diperbaharui tersebut.

Projek itu dianugerahkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia pada Ogos 2023 di bawah Corporate Green Power Programme (CGPP) kepada TotalEnergies yang memegang 49 peratus kepentingan dan Solar Citra Sdn. Bhd., anak syarikat M K Land, dengan pegangan 51 peratus.

Menurut syarikat itu, projek tersebut dijadualkan mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2027 selepas proses pembinaan dimulakan susulan pengeluaran Notice to Proceed.

Keseluruhan pengeluaran tenaga sebanyak kira-kira 1.5 TWh elektrik akan dijual menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) jangka panjang selama 21 tahun kepada pemain utama sektor teknologi dan industri di Malaysia.

Langkah itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap bekalan elektrik yang diperoleh daripada sumber mampan, sekali gus menyokong agenda tenaga bersih negara.

Loji solar berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 115 ekar dan dilengkapi kira-kira 80,000 panel fotovoltaik selain pembinaan pencawang baharu 132 kV loop-in-loop-out (LILO) bagi memperkukuh rangkaian grid elektrik negara.

Ketua Pembangunan Perniagaan Renewables APAC TotalEnergies, Gregory Thomassin berkata projek tersebut menjadi satu lagi pencapaian penting syarikat dalam memperluaskan pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

-Advertisement-

Beliau berkata TotalEnergies akan memanfaatkan kedudukan kukuh syarikat dalam sektor tenaga negara serta kerjasama strategik serantau untuk menyokong usaha penyahkarbonan Malaysia.

Tambah beliau, projek itu juga mencerminkan strategi syarikat dalam menyediakan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang disesuaikan untuk pelanggan teknologi dan industri utama.

Kemudahan pembiayaan projek bernilai kira-kira RM145 juta pula diuruskan oleh bnp paribas malaysia berhad  sebagai pemberi pinjaman tunggal mandat utama.

TotalEnergies telah beroperasi di Malaysia sejak 1985 dan merupakan rakan lama kepada PETRONAS. Selepas pengambilalihan SapuraOMV Upstream, syarikat itu kini menjadi pengendali gas ketiga terbesar di negara ini.

Selain sektor minyak dan gas, TotalEnergies turut terlibat dalam pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan karbon di Asia Tenggara termasuk projek solar dan bateri di bawah Corporate Renewable Electricity Supply Scheme (CRESS).

Secara global, TotalEnergies kini memiliki lebih 34 GW kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan menyasarkan pengeluaran lebih 100 TWh tenaga elektrik bersih menjelang tahun 2030. – The Capital Post