NILAI, 16 Mei 2026 (The Capital Post) — TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya dalam landskap penyiaran negara menerusi pelancaran rasmi Akademi Seni Media Islam (ASMI), sebuah inisiatif strategik yang bertujuan melahirkan generasi baharu pemain industri media berteraskan nilai Islam serta berdaya saing dalam era digital.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu disempurnakan oleh Zulkifli Hasan dan turut dihadiri kepimpinan TV AlHijrah, wakil institusi pengajian tinggi, pemain industri kreatif serta rakan strategik.
Turut hadir ialah Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz selaku Pro-Canselor USIM.
Pelancaran ASMI dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara khususnya dalam sektor seni, media dan komunikasi yang berteraskan nilai Islam progresif serta relevan dengan keperluan semasa.
Sebagai stesen televisyen Islam pertama negara, TV AlHijrah menyatakan komitmennya untuk terus memimpin pembangunan kandungan berasaskan ilmu, hikmah dan pembangunan masyarakat menerusi pendekatan media yang lebih strategik dan inovatif.
Penubuhan ASMI juga bertujuan memperkukuh peranan TV AlHijrah bukan sahaja sebagai penyedia kandungan berkualiti, malah sebagai institusi yang membantu mencorakkan masa depan ekosistem kreatif Muslim melalui pendidikan, latihan dan inovasi industri.
ASMI dibangunkan sebagai modul latihan strategik yang memberi fokus kepada pembangunan bakat media dalam kalangan asatizah, pelajar institusi pengajian tinggi, belia serta bakat baharu yang berpotensi menjadi pemain industri.
Program latihan yang ditawarkan merangkumi komunikasi Islam, penerbitan kandungan, pengacaraan, media digital, strategi dakwah, personaliti penyiaran dan kemahiran penyampaian berkesan selari dengan keperluan landskap media masa kini.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan kerjasama strategik antara TV AlHijrah dan USIM dalam menggabungkan kekuatan industri dan kepakaran akademik bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berintegriti serta bersedia menghadapi cabaran era digital.
Melalui ASMI, peserta akan didedahkan kepada pembelajaran menyeluruh meliputi kemahiran teknikal, pemikiran strategik, nilai kepimpinan serta kefahaman mengenai peranan dakwah dalam penyiaran moden.
TV AlHijrah turut menyatakan komitmennya untuk menjadikan ASMI sebagai institusi rujukan utama pembangunan bakat dalam ekosistem media Islam di Malaysia dan rantau ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan media Islam progresif serantau. – The Capital Post
-Advertisement-