KUALA LUMPUR 24 Mei 2026 (The Capital Post) – TV AlHijrah menerima pengiktirafan Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 sempena 21st Employer Branding Awards yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur City Centre, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan organisasi dalam pembangunan modal insan dan budaya kerja progresif.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengasas World CSR Day dan World Sustainability Congress merangkap Pengarah World HRD Congress & Employer Branding Awards, Dr. R. L. Bhatia, dalam majlis berprestij yang dianjurkan oleh Employer Branding Institute – India dengan kerjasama beberapa organisasi antarabangsa.
Pengiktirafan itu diberikan berdasarkan komitmen TV AlHijrah dalam memperkukuh kesejahteraan warga kerja, pembangunan bakat serta pembentukan persekitaran kerja yang inklusif, inovatif dan berteraskan nilai.
Majlis tersebut turut menyaksikan beberapa organisasi lain dari pelbagai sektor menerima pengiktirafan sama, termasuk institusi korporat dan teknologi antarabangsa yang menunjukkan komitmen terhadap pembangunan budaya kerja progresif.
Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron berkata, pengiktirafan ini mencerminkan usaha berterusan organisasi dalam membina budaya kerja positif dengan menjadikan warga kerja sebagai aset utama organisasi.
-Advertisement-
Menurut beliau, TV AlHijrah akan terus memperkukuh budaya kerja berteraskan nilai Islam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta perkembangan industri media dan digital semasa.
Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed turut hadir pada majlis tersebut bersama barisan pengurusan tertinggi organisasi.
Anugerah Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan sumber manusia termasuk pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja, strategi kepimpinan serta tanggungjawab sosial korporat. – The Capital Post