URIIS 2026 Hubungkan Penyelidikan Universiti Dengan Pelabur

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 22 September 2026 (The Capital Post) – Sidang Kemuncak Penyelidikan dan Inovasi Universiti serta Pelaburan (URIIS) 2026 menjadi platform menghubungkan penyelidikan universiti dengan industri dan pelabur bagi mempercepatkan pengkomersialan inovasi tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan sidang kemuncak itu hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), URIIS 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 September menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada lebih 20 universiti awam dan swasta bersama pemimpin industri, pelabur, agensi kerajaan, penyelidik dan inovator.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata URIIS menyediakan ruang kepada penyelidik universiti untuk mengetengahkan hasil penyelidikan secara langsung kepada industri, pelabur dan rakan berpotensi.

Usaha itu bertujuan mempercepatkan peralihan hasil penyelidikan daripada peringkat penerbitan, paten dan prototaip kepada penyelesaian, produk serta peluang perniagaan yang boleh dikomersialkan dan dikembangkan.

Dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata Malaysia perlu menangani jurang antara penyelidikan, pengkomersialan dan pengembangan teknologi bagi memastikan lebih banyak inovasi tempatan diterjemahkan kepada produk, harta intelek serta perusahaan milik Malaysia.

-Advertisement-

Beliau berkata kerajaan boleh membantu membiayai penemuan dan penyelidikan, namun industri, pelabur serta modal swasta perlu memainkan peranan apabila sesuatu teknologi menunjukkan potensi pasaran.

Ahmad Zahid turut menawarkan kawasan luar bandar sebagai “makmal hidup” bagi inovasi dalam bidang kesihatan digital, tenaga boleh baharu, teknologi air dan logistik pintar, termasuk di Bagan Datuk dan Hutan Melintang.

URIIS 2026 turut menampilkan dialog universiti-industri, pameran teknologi dan produk, jaringan perniagaan, penilaian teknologi, pelesenan, pembiayaan serta sesi berkaitan pengkomersialan.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Garis Panduan Industri Dalam Kampus (Industry on Campus, IOC) bagi universiti awam serta penyampaian memorandum perjanjian antara universiti dan rakan strategik industri.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi, URIIS bertujuan memperkukuh kerjasama antara universiti, industri dan pelabur serta membuka laluan lebih jelas untuk membawa hasil penyelidikan berpotensi ke pasaran. – The Capital Post