Vietnam digegarkan skandal rasuah perbankan RM57.9 bilion, terbesar di Asia Tenggara

Estimate Reading Time: 2 minutes

SAIGON: Vietnam berdepan skandal perbankan terbesar susulan penahanan pemaju hartanah, Truong My Lan baru-baru ini, yang didakwa menggelapkan kira-kira 304 trilion dong (AS$12.4 bilion) (RM57.9 bilion).

-Advertisement-

Pada 17 November lalu, Kementerian Keselamatan Awam Vietnam mendakwa Truong, 79, yang juga pengerusi Van Thinh Phat Group kerana menyeleweng dana Saigon Commercial Bank (SCB).

Dia adalah pemegang kepentingan majoriti di institusi kewangan itu.

Selama beberapa tahun, Truong didakwa mengendalikan lebih 1,000 anak syarikat dan syarikat pesisir domestik dan asing, dan memperoleh lebih AS$43 bilion (RM200.7 bilion) pinjaman daripada SCB.

Memetik laporan NETSHARK, kira-kira satu pertiga daripada jumlah berkenaan didakwa diselewengkan melalui kewujudan ‘syarikat hantu’ oleh Truong, keluarga dan sekutunya.

Skandal itu sekali gus mendedahkan kelemahan dalam sistem perbankan Vietnam, gesaan amalan profesional yang lebih baik, peraturan yang lebih ketat dan mekanisme pemeriksaan yang dipertingkatkan untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.

Parti Komunis Vietnam yang memerintah sebelum ini menjalankan kempen antirasuah sejak 2016 yang mengakibatkan penyingkiran pegawai tertinggi.

Dalam skandal terbaru itu, Kementerian Keselamatan Awam sudah mengesyorkan pendakwaan terhadap 85 individu termasuklah pegawai kerajaan dan rakan sekutu Kumpulan Van Thinh Phat dan SCB.

Jawatankuasa Hal Ehwal Dalam Negeri Parti Komunis turut meminta siasatan terhadap 23 pegawai negeri, termasuk 12 individu daripada Bank Negara Vietnam.

-Advertisement-

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong turut menggesa pihak berkuasa untuk mempercepat dan meningkatkan lagi usaha pencegahan rasuah.

“Kami tidak akan berhenti di sini, tetapi ia akan berterusan untuk jangka panjang,” katanya.

Usaha antirasuah di negara itu sebelum ini juga dikritik menjadi alat untuk mengekalkan kekuasaan parti dalam politik Vietnam.

Terdapat gesaan lebih banyak pendedahan skandal dan penahanan besar akan berlaku, termasuk terhadap bekas ketua parti Ho Chi Minh City, Le Thanh Hai, yang dilihat oleh penduduk Vietnam sebagai simbol rasuah.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan proses antirasuah mungkin menjejaskan kestabilan ekonomi, kerana pegawai kerajaan tempatan dan penjawat awam menjadi teragak-agak untuk meluluskan tawaran pelaburan infrastruktur kerana bimbang akan tuduhan rasuah.

Sesetengah pakar bagaimanapun lebih percaya, penyiasatan terhadap rasuah sektor swasta mempunyai kesan yang besar terhadap keyakinan perniagaan di Vietnam, menimbulkan ketakutan yang meluas terhadap penyiasatan dan penelitian daripada Parti Komunis Vietnam.

– AGENSI

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373