GEORGE TOWN, 4 September 2026 – Seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta di kawasan tempat letak kenderaan Desa Penang 2, Lebuh Sungai Pinang 7, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak polis menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mangsa pada jam 6.59 petang.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati mangsa merupakan penduduk tempatan di kawasan berkenaan dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan tersebut.
“Pemeriksaan awal di tempat kejadian serta pemeriksaan fizikal ke atas mayat tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
-Advertisement-
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), sementara menunggu laporan perubatan rasmi bagi menentukan punca kematian. – The Capital Post