Warren Buffett Derma Saham US$5.5 Bilion

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON, 17 Nov 2026 (The Capital Post) – Bilionair Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett menyumbangkan saham syarikat pelaburannya, Berkshire Hathaway, bernilai kira-kira US$5.5 bilion kepada empat yayasan kebajikan keluarga yang dikendalikan oleh anak-anaknya.

Menurut kenyataan Berkshire Hathaway, Buffett yang juga Pengerusi Emeritus syarikat itu menukar 6,150 saham Kelas A kepada 9,225,000 saham Kelas B sebelum mengagihkan keseluruhan saham berkenaan kepada empat yayasan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,690,000 saham disalurkan kepada The Susan Thompson Buffett Foundation, manakala The Sherwood Foundation, The Howard G. Buffett Foundation dan NoVo Foundation masing-masing menerima 1,845,000 saham.

Berdasarkan harga penutupan pasaran sebanyak US$592.85 sesaham, nilai keseluruhan sumbangan tersebut dianggarkan mencecah US$5.47 bilion.

-Advertisement-

Ketiga-tiga anak Buffett masing-masing menguruskan inisiatif kebajikan dalam bidang berbeza. Susan Buffett memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, Howard Buffett terlibat dalam usaha menangani kebuluran serta membantu mangsa konflik, manakala Peter Buffett menyokong pembangunan komuniti setempat.

Buffett menjadi bilionair pada 1986 selepas mengembangkan Berkshire Hathaway menjadi sebuah syarikat pelaburan gergasi menerusi pendekatan pelaburan berasaskan nilai.

Beliau kini turut disenaraikan sebagai antara 10 individu terkaya di dunia. – The Capital Post