WHO kecam Israel kerana musnahkan Hospital Kamal Adwan

Estimate Reading Time: 2 minutes

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam kemusnahan yang berlaku di Hospital Kamal Adwan di mana sekurang-kurangnya lapan pesakit meninggal dunia.

-Advertisement-

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata antara mangsa yang meninggal dunia adalah kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Kenyataannya itu dikeluarkan ketika tentera Israel keluar dari hospital selepas operasi selama beberapa hari kerana mendakwa bangunan hospital itu digunakan sebagai pusat kawalan dan arahan pejuang Hamas.

Bagaimanapun, Hamas berulang kali menafikan dakwaan berkenaan.

Dalam ciapannya di X, Tedros berkata pihaknya terkejut dengan kemusnahan yang berlaku di hospital berkenaan sehingga ia tidak lagi boleh beroperasi.

“@WHO kecewa dengan kemusnahan sama sekali hospital Kamal Adwan di utara #Gaza sejak beberapa hari lalu, menyebabkannya lumpuh selain kehilangan sekurang-kurangnya lapan pesakit.

“Ramai pekerja kesihatan dilaporkan ditahan dan WHO serta rakan kongsi sedang mencari maklumat mengenai status mereka dalam kadar segera,” tambahnya.

Sebaliknya, wakil Israel ke PBB, dalam aplikasi X, menuduh Tedros kerana tidak menyebut mengenai ‘kubu Hamas di hospital’ dalam laporannya.

Israel berkata, sebelum memasuki hospital, pihaknya sudah berunding untuk memindahkan pesakit di kebanyakan hospital.

Menurut kenyataan Tedros, pihaknya mengetahui ramai pesakit terpaksa berpindah sendiri dengan risiko besar terhadap kesihatan dan keselamatan mereka, dengan ambulans tidak dapat sampai ke kemudahan itu.

-Advertisement-

“Daripada pesakit yang meninggal dunia, tidak kurang yang maut akibat kekurangan penjagaan kesihatan termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun.

“Kami sangat prihatin terhadap kesejahteraan orang yang kehilangan tempat tinggal dan dilaporkan berlindung di bangunan hospital,” katanya.

WHO memaklumkan, ketika ini Hospital Al Shifa di Gaza hanya menyediakan kemudahan asas untuk merawat serta tidak mempunyai darah bagi pemindahan dan hampir tidak ada kakitangan untuk menjaga kemasukan pesakit secara berterusan.

Selepas lawatan WHO untuk menghantar ubat-ubatan dan bekalan pembedahan, pasukan itu menyifatkan jabatan kecemasan di kemudahan kesihatan utama enklaf itu menyerupai tempat pertumpahan darah.

Katanya, terdapat ratusan pesakit cedera, dengan pesakit yang mengalami kecederaan dijahit di atas lantai serta tidak menggunakan sebarang ubatan bagi menahan kesakitan.

Hanya empat hospital daripada 24 yang beroperasi di utara Gaza sebelum perang dan tiga daripadanya hampir tidak berfungsi, kata WHO.

WHO berkata ia sedang mengumpul maklumat di hospital Kamal Adwan, di mana pihak berkuasa Gaza berkata tentera Israel minggu ini menggunakan jentolak untuk memecahkan tapak yang dikatakan Israel digunakan oleh pejuang Hamas.

– AFP

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373