PUTRAJAYA, 1 September 2026 (The Capital Post) – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh patriotik dan kemeriahan, semalam.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini menghimpunkan 10,819 peserta daripada 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias melibatkan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan serta orang awam.
Antara penyertaan yang mencuri perhatian ialah penampilan sulung Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 serta kontinjen Kluster Kelestarian Ekonomi Jingga.
Sambutan turut dimeriahkan persembahan “Gema Inovasi MADANI” yang menampilkan kepelbagaian seni dan kreativiti tempatan, termasuk penyertaan 150 peserta pergendangan serta 1,500 peserta grafik manusia.
-Advertisement-
Kemeriahan diteruskan dengan pertunjukan pesawat dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum acara diakhiri persembahan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” yang melibatkan 2,350 peserta daripada pelbagai kumpulan kesenian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penggiat seni dan budaya.
Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, selain kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan Kerajaan, termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang serta wakil diplomatik asing.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 menjadi platform memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara maju, berdaya saing serta berpaksikan sains, teknologi dan inovasi. – The Capital Post