KUALA LUMPUR 25 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh ekosistem inovasi negara menerusi penganjuran Sesi Penilaian Akhir Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2025 yang berlangsung di Dewan Perhimpunan MOSTI pada 22 dan 23 Jun 2026.
Program anjuran Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D ini merupakan platform pengiktirafan kepada penyelidik serta usahawan teknologi tempatan yang berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus memberi impak kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Sebanyak 434 produk telah dinilai sepanjang tahun 2025 menerusi sesi Penilaian Due Diligence MCY, dengan 139 produk dikenal pasti sebagai produk berpotensi tinggi di bawah KPI khas MCY. Daripada jumlah tersebut, seramai 29 finalis telah dipilih untuk mara ke peringkat akhir bagi membentangkan inovasi dan teknologi masing-masing.
-Advertisement-
Pemilihan ini mencerminkan komitmen berterusan MOSTI dalam memperkasa pengkomersialan inovasi tempatan yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan ke pasaran lebih luas, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Pemenang Anugerah MCY 2025 akan diumumkan semasa Program National Innovation and Commercialisation Expo (NICE 2026) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 hingga 28 Ogos 2026. Program berkenaan bertemakan “Dari Misi ke Pasaran, Malaysia ke Dunia” dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri. – The Capital Post