159 Belia JKM Terima Biasiswa TVET

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2026 – Seramai 159 belia daripada institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipilih sebagai kumpulan perintis penerima Biasiswa TVET Yayasan Sime Darby 2026 menerusi inisiatif di bawah Belanjawan MADANI.

Majlis penyampaian biasiswa tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, pada 29 Oktober 2026 di Asia School of Business, Kuala Lumpur.

Inisiatif berkenaan menyasarkan seramai 435 belia daripada institusi JKM yang sedang melalui fasa transisi atau masih belum mendapat pekerjaan. Daripada jumlah tersebut, 159 belia telah dipilih selepas melalui proses tapisan untuk menerima tajaan biasiswa penuh.

Selain pembiayaan yuran pengajian, program ini turut menawarkan pakej sokongan holistik merangkumi elaun sara hidup, kemudahan penginapan, bimbingan kerjaya serta jaminan penempatan pekerjaan bersama rakan industri.

-Advertisement-

Sebanyak 10 bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi ditawarkan bagi melengkapkan penerima dengan kemahiran yang mempunyai nilai pasaran. Bidang tersebut merangkumi automotif, kecantikan dan kesejahteraan, elektrik dan elektronik, pembinaan dan penyelenggaraan, jentera berat, hospitaliti dan perkhidmatan, kulinari, peruncitan dan logistik, kimpalan serta pertanian.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memperkasa golongan belia, khususnya pelatih daripada institusi JKM, supaya mampu meningkatkan daya saing dan melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih yakin serta berdikari.

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan kanan kementerian dan agensi, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato’ Ruziah Haji Shafei; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Puan Nordina Haron; Setiausaha Bahagian Perancangan dan Kolaborasi Strategik, Puan Norhadznita Mohammad Ilham; Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan JKM, Encik Arfan Sulaiman; serta Pengarah Jabatan Kanak-Kanak JKM, YBrs. Dr. Sopian Hj. Brahim. – The Capital Post