16 Warga Indonesia Ditahan dalam Operasi Selera

Estimate Reading Time: < 1 minute

BINTULU 30 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 16 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menerusi Operasi Selera yang dijalankan di dua premis makanan sekitar bandar Bintulu pada 28 September lalu.

Operasi melalui Pejabat Imigresen Bahagian Bintulu itu melibatkan 20 anggota, terdiri daripada 16 anggota JIM Bintulu dan empat anggota Unit Perancangan Strategik dan Khidmat Korporat (UPSKK), JIM Sarawak.

Sepanjang operasi, sebanyak 44 individu diperiksa di kedua-dua premis berkenaan, melibatkan 16 warga asing dan 28 rakyat Malaysia.

Hasil pemeriksaan, kesemua 16 warga Indonesia yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita. Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.

-Advertisement-

Selain itu, sebanyak tiga saman saksi menggunakan Borang 29 turut dikeluarkan sepanjang operasi tersebut bagi membantu proses penguatkuasaan dan siasatan.

Operasi yang menyasarkan premis makanan di sekitar bandar Bintulu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JIM Sarawak untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan imigresen.

JIM Sarawak turut menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan di seluruh negeri bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen. Orang ramai dan komuniti setempat juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa bagi membantu melancarkan tindakan penguatkuasaan – The Capital Post