1MDB saman anak tiri Najib

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama tiga subsidiarinya, memfailkan saman terhadap anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz dan tiga syarikat lain, bagi menuntut AS$250 juta (RM1.03 bilion) yang diselewengkan.

-Advertisement-

Tiga lagi syarikat yang memfailkan saman itu adalah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Selain Riza Shahriz, syarikat Red Granite Pictures Incorporated, Red Granite Capital Limited dan firma guaman di Amerika Syarikat, Shearman & Sterling, turut dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat dalam tuntutan berkenaan.

Saman itu adalah sebahagian daripada enam tindakan undang-undang yang dimulakan 1MDB terhadap sembilan entititi, termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Berdasarkan writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 7 Mei lalu menerusi Tetuan Shearn Delamore, defendan pertama hingga ketiga didakwa menerima kira-kira AS$250 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012.

1MDB mendakwa defendan menggunakan dana berkenaan bagi kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian hartanah.

“Defendan keempat membenarkan Riza Shahriz dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, menggunakan akaun faedah kepada peguam (interest on lawyer accounts) untuk mengubah sebahagian besar daripada dana yang dilesapkan dan diterima oleh defendan pertama hingga ketiga.

-Advertisement-

“Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan pertama bertanggungjawab kepada plaintif bagi dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur,” katanya.

1MDB juga menuntut defendan pertama hingga ketiga membayar balik dana yang dilesapkan.

“Defendan keempat perlu membayar ganti rugi dan pampasan ekuiti bagi pelanggaran kewajipan statutori.

“Plaintif turut menuntut ‘relief ‘ dan faedah pada kadar yang dianggap wajar oleh mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendaftar, Noordura Mohamed Din, menetapkan 17 Ogos ini untuk pengurusan kes pada prosiding kes menerusi e-Review, hari ini. – Sinar Harian