Fun Walk HAWANA 2026 Satukan Komuniti Media dan Masyarakat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 15 Jun 2026 (The Capital Post) – Program Fun Walk HAWANA 2026 yang diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 berjaya menghimpunkan hampir 2,000 peserta di Taman Tasik Titiwangsa, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti media dan masyarakat.

Acara pelepasan program tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah. Program berkenaan merupakan penganjuran sulung hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai agensi pelaksana.

Penyertaan melibatkan pengamal media bersama ahli keluarga, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta orang awam yang hadir bagi memeriahkan program berteraskan gaya hidup sihat dan semangat kebersamaan itu.

Selain aktiviti berjalan santai, peserta turut mengambil bahagian dalam pelbagai pengisian menarik termasuk sesi senamrobik, pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah, pameran agensi serta aktiviti kekeluargaan yang disediakan sepanjang program berlangsung.

-Advertisement-

Penganjuran program tersebut mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan antara warga media dan masyarakat, di samping menyemarakkan sambutan HAWANA 2026 yang akan mencapai kemuncaknya di Pulau Pinang dari 19 hingga 21 Jun ini.

Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj. – The Capital Post