2 lelaki ditahan main mercun awal pagi, lontar ke arah polis

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan selepas bermain mercun sehingga jam 5 pagi dan melontar mercun ke arah pihak berkuasa dalam kejadian di Lembah Subang, semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada jam 4.35 pagi.

“Susulan itu anggota unit peronda dan pasukan ‘task force’ ditugaskan ke lokasi kejadian. Ketika tiba di lokasi seramai 50 penduduk berkumpul menunjukkan perasaan takut dan marah akibat perbuatan bermain mercun sehingga awal pagi.

“Anggota dan kenderaan polis yang berada di lokasi turut dilontarkan dengan mercun oleh dua lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, susulan itu polis berjaya menahan dua lelaki yang berusia 20-an di kawasan perumahan terbabit.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.

“Kedua-dua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
-BeritaHarian