20 Anggota Lembaga Penasihat LPI Dilantik

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Seramai 20 individu daripada kalangan ahli akademik, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (LPI) bagi sesi 2026–2028, dalam usaha memperkukuh agenda perpaduan dan integrasi nasional.

Watikah pelantikan disampaikan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, dalam satu majlis yang berlangsung di Jabatan Muzium Malaysia pada 22 Oktober 2026.

LPI berperanan sebagai mekanisme penasihat strategik kepada Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN), dengan menyediakan pandangan, hala tuju serta cadangan penambahbaikan bagi pelaksanaan program latihan, penyelidikan dan pembangunan kompetensi dalam bidang perpaduan serta integrasi nasional.

Keanggotaan yang melibatkan pelbagai sektor dijangka dapat memperluas perkongsian kepakaran dan idea strategik bagi membantu IKLIN melaksanakan peranannya sebagai Pusat Kecemerlangan Perpaduan. Pendekatan merentas bidang ini juga penting dalam mengenal pasti kaedah yang berkesan untuk menangani isu perkauman, ucapan kebencian, konflik sosial dan cabaran lain yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

Aaron berkata LPI perlu berfungsi sebagai badan penasihat strategik serta rakan pemikir kepada IKLIN bagi memperkukuh perancangan dan pelaksanaan inisiatif berkaitan perpaduan negara.

-Advertisement-

Menurut beliau, peranan IKLIN perlu diperkasakan sejajar dengan mandat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), khususnya di bawah Strategi D.1.1 yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh integrasi dan perpaduan nasional.

Beliau turut menegaskan bahawa IKLIN perlu dibangunkan sebagai Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) dan pusat rujukan nasional dalam bidang perpaduan, integrasi nasional serta pembinaan negara bangsa.

Pelantikan anggota LPI bagi sesi baharu ini diharap dapat menyumbang kepada pengukuhan peranan IKLIN melalui nasihat berasaskan kepakaran, penyelidikan dan pandangan strategik, sekali gus menyokong usaha membina masyarakat yang bersatu padu dan mengekalkan keharmonian negara – The Capital Post