300,000 Pelitup Muka untuk Murid

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, atas kurniaan 300,000 keping pelitup muka bagi membantu melindungi kesihatan murid ketika berdepan situasi jerebu.

Kurniaan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor itu bertujuan menyokong langkah perlindungan kesihatan dan kesejahteraan murid, khususnya di kawasan yang terjejas akibat keadaan jerebu.

Majlis penyerahan pelitup muka berkenaan disempurnakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani. Bekalan tersebut diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk diagihkan kepada murid di kedua-dua wilayah berkenaan.

Sumbangan itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kebajikan dan kesihatan golongan murid, selain membantu pihak sekolah melaksanakan langkah pencegahan yang bersesuaian sepanjang tempoh jerebu.

-Advertisement-

KPM turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat serta kebajikan warga sekolah terus diberi perhatian ketika berdepan cabaran kesihatan akibat keadaan persekitaran.

Inisiatif berkenaan juga selari dengan komitmen kementerian untuk mengutamakan kesejahteraan murid sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan sistem pendidikan yang menyokong perkembangan dan keselamatan generasi muda, selaras dengan slogan “Tahun Ini, Tahun Kita” dan “Guru Bitara Nadi Negara” – The Capital Post