PUTRAJAYA 13 Mei 2026 (The Capital Post) – Seramai 228 pelajar dari Wilayah Persekutuan Putrajaya yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM dan Anugerah Inspirasi MADANI yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya.
Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi pendidikan negara termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim serta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Encik Mohd Nadimin Abdul Aziz.
Selain meraikan kecemerlangan pelajar, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Inspirasi MADANI kepada 28 sekolah di Putrajaya sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, literasi, numerasi serta prestasi peperiksaan.
-Advertisement-
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan negara, Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu yang melibatkan penyaluran smartboard kepada sekolah, projek naik taraf bilik guru, pembiayaan Sudut Sasterawan Negara serta pelaksanaan Program Sukan untuk Gadis Remaja (SUGAR).
Inisiatif tersebut dilihat selari dengan aspirasi pendidikan MADANI yang memberi penekanan kepada pembangunan pelajar secara holistik, termasuk aspek akademik, sahsiah dan kesejahteraan murid.
Majlis berkenaan turut menjadi platform penghargaan kepada warga pendidik dan sekolah yang terus memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi pelajar berprestasi tinggi di Wilayah Persekutuan Putrajaya. – The Capital Post