2,630 pesawah terjejas kemarau di Kelantan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Seramai 2,630 pesawah di Kelantan terjejas akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau yang melanda ketika ini.

-Advertisement-

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husin, berkata mereka termasuk pesawah di tiga kawasan Pejabat KADA Jajahan (PKJ) membabitkan Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan dan Bachok yang terjejas teruk.

Selain itu, beliau berkata, sebilangan kecil pesawah di kawasan PKJ Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh turut terjejas.

“Pesawah berkenaan terpaksa mendapatkan bekalan air daripada sumber telaga tiub di bendang, terutama bagi kawasan yang tidak mempunyai sumber air alternatif.

“Selain itu, pihak KADA juga memasang beberapa pam sokongan di kawasan sungai yang berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, lebih 50 pesawah yang mengusahakan tanah padi seluas lebih 200 hektar di Kampung Aur Duri, di sini, dilaporkan buntu apabila sebahagian besar tanaman berkenaan rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau kini.

Pesawah terbabit mendakwa sebahagian besar tanaman padi yang diusahakan mereka sejak Disember lalu itu mulai rosak sejak dua minggu lalu, manakala sebahagian lagi hanya mampu bertahan seminggu, menyebabkan masing-masing kerugian puluhan ribu ringgit.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, antara usaha jangka pendek KADA bagi menangani isu berkenaan ialah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pembinaan telaga tiub.

Selain itu, beliau berkata, KADA juga membekalkan ‘backward pump’, pam mudah alih dan bantuan diesel bagi kegunaan petani di kawasan yang dilanda bencana kemarau.

“KADA juga sudah membina pam-pam sokongan di kawasan yang mempunyai sumber air,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad tidak menolak kemungkinan hasil pengeluaran padi akan terjejas susulan kesan bencana kemarau.

“Cuaca panas yang berpanjangan memang akan mengganggu pengeluaran padi. Ini kerana air yang berkurangan menyebabkan hasil pengeluaran menurun. Purata hasil pengeluaran padi di KADA bagi musim utama ialah 4.5 tan bagi setiap hektar,” katanya.
-BeritaHarian