312 ulat ditahan JPJ sejak 2022

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sebanyak 312 ulat atau pihak tidak bertanggungjawab yang memujuk dan mendesak dengan menawarkan perkhidmatan yang berkaitan tanpa kebenaran ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui suatu operasi khas sejak 2022.

-Advertisement-

Menurut kenyataan JPJ, tindakan itu dibuat melalui Ops Khas Ulat dan Kenderaan E-Hailing dilaksanakan jabatan itu sehingga April lalu.

Katanya, tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Melalui operasi sama, sebanyak 1,889 kenderaan turut diambil tindakan, selain 2,168 pemilik atau pemandu e-hailing diberikan notis terhadap pelbagai kesalahan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 23,567 kenderaan pemilik atau pemandu e-hailing diperiksa JPJ dengan kebanyakannya melakukan kesalahan teknikal, kelakuan dan gagal menghantar pemeriksaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

-Advertisement-

Pada masa sama, JPJ turut melaksanakan operasi ke atas individu yang tanpa kuasa yang sah, memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan yang berkaitan.

Katanya, adalah menjadi suatu kesalahan berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, APD 2010 dan kaedah di bawahnya.

“JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang tanpa kuasa sah, menjalankan aktiviti memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan secara tidak sah.

“Kita juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada syarikat, pemilik atau pemandu e-hailing yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373