KANGAR, 6 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 33,548 murid Tabika mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi program “Satu Suara, Seribu Warna” yang dianjurkan Pertubuhan Nadi Sihat dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Program berkenaan mendapat pengiktirafan MBOR bagi kategori penyertaan terbesar kanak-kanak dalam program mewarna bertemakan patriotik.
Penyertaan melibatkan ribuan murid Tabika dari seluruh negara yang bersama-sama menjayakan aktiviti mewarna dalam usaha menyemai nilai patriotisme dan semangat cintakan negara sejak usia kanak-kanak.
Program tersebut disempurnakan Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Bukit Ayer Resort, Perlis, semalam.
-Advertisement-
Pencapaian itu menjadi satu lagi simbol usaha memupuk semangat perpaduan, patriotisme dan kecintaan terhadap negara melalui pendekatan pendidikan serta aktiviti kreatif yang melibatkan generasi muda.
Pengiktirafan MBOR berkenaan turut mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam mewujudkan program berskala besar yang bukan sahaja memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak, malah menggalakkan penghayatan nilai perpaduan dan patriotisme sejak di peringkat awal pendidikan. – The Capital Post