450 Graduan ILKKM Sidang 7 Terima Skrol

Estimate Reading Time: < 1 minute

PERAK 18 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 450 graduan diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Semenanjung 2026 bagi Sidang 7 yang berlangsung hari ini, menandakan permulaan baharu mereka dalam bidang perkhidmatan kesihatan.

Penyampaian skrol kepada para graduan telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Azuana binti Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Istiadat berkenaan bukan sekadar meraikan kejayaan menamatkan tempoh latihan, malah menjadi titik permulaan kepada para graduan untuk menggalas tanggungjawab sebagai warga kerja kesihatan dalam menghadapi keperluan perkhidmatan yang semakin mencabar dan kompleks.

Dalam amanatnya, YBrs. Dr. Azuana menekankan bahawa penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti memerlukan penglibatan dan kerjasama erat antara pelbagai disiplin serta profesion. Komunikasi yang berkesan dan kekuatan setiap bidang perlu digembleng bagi memastikan keselamatan, kualiti serta kesejahteraan pesakit sentiasa menjadi keutamaan.

-Advertisement-

Para graduan turut diseru supaya menjadikan integriti, komitmen dan profesionalisme sebagai asas dalam melaksanakan tugas, selain membudayakan pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan pengetahuan serta kemahiran mereka terus selari dengan perkembangan sektor kesihatan.

Ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh latihan di ILKKM juga perlu dikembangkan secara berterusan agar para graduan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan serta memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Turut hadir ialah Puan Emillia Rosnizar binti Hanipiah, Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan KKM dan Puan Fakriah binti Mat Hashim, Pengarah ILKKM Sultan Azlan Shah. – The Capital Post