70 peratus hospital di Gaza musnah

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Lebih 70 peratus hospital di Semenanjung Gaza terpaksa menghentikan operasi susulan tentera Israel memperhebatkan pengeboman di kawasan berkenaan,

-Advertisement-

Hospital yang sememangnya sudah rosak akibat kempen pengeboman berterusan rejim Zionis selama hampir dua bulan, kini bertambah kritikal kerana kekurangan bekalan bahan api dan ubat-ubatan.

Ketua Pasukan Penilaian Biro Statistik Pusat Palestin, Hossam Khalifa, mengakui keupayaan hospital di Gaza kini amat terbatas walaupun pesakit yang memerlukan rawatan terus meningkat.

“Serangan tanpa henti Israel memusnahkan kira-kira 250,000 daripada 400,000 unit perumahan di Gaza manakala kos kerugian ekonomi di wilayah terkepung itu akibat perang Israel mencecah AS$700 juta (RM3.3 bilion) pada Oktober,” katanya.

Susulan keadaan genting di Gaza, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa tindakan segera untuk memulihkan sistem kesihatan yang terjejas teruk akibat kempen pengeboman rejim Zionis.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberi amaran lebih banyak kematian akibat penyakit sudah pasti berlaku di wilayah terkepung itu jika sistem penjagaan kesihatan dan sanitasi gagal dipulihkan.

“Sudah pasti kita akan menyaksikan peningkatan korban akibat penyakit berbanding serangan Israel jika hospital tidak lagi dapat beroperasi,” kata jurucakap, Margaret Harris.

Ketika ini, infrastruktur kritikal di wilayah Gaza lumpuh akibat kekurangan bahan api selain terus menjadi sasaran bedilan rejim Zionis sejak lebih tujuh minggu lalu.

Pakar juga memberi amaran krisis kemanusiaan akan menjadi lebih buruk selepas tentera Israel melancarkan semula kempen pencerobohan ganas ke atas wilayah itu menerusi operasi darat pada akhir minggu lalu.

Status kesihatan di utara Gaza juga semakin kritikal dengan hanya tiga hospital yang masih beroperasi, namun ia tidak dapat menampung keperluan kesihatan di seluruh wilayah berkenaan.

-Advertisement-

Kemudahan di kawasan itu juga semakin terdesak kerana ketiadaan bantuan perubatan dan bekalan bahan api semakin terhad susulan konvoi bantuan PBB kini disekat.

Sementara itu, laporan PBB juga mendapati kempen pengeboman rejim Zionis memusnahkan kira-kira 60 peratus kediaman di Gaza manakala kekangan perubatan sudah myula menyaksikan kemunculan wabak penyakit di Gaza.

WHO merekodkan lebih 44,000 kes cirit-birit dan 70,000 jangkitan pernafasan akut.

Penyakit cirit-birit meningkat sebanyak 45 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu manakala penyakit lain yang berkaitan isu kebersihan juga menunjukkan peningkatan ketara.

Hampir tiga perempat hospital di Gaza dan dua pertiga klinik penjagaan kesihatan utama terpaksa menutup operasi akibat dibedil atau berdepan krisis bekalan.

Keperluan kesihatan penduduk Gaza telah melonjak secara mendadak dengan hanya satu pertiga hospital dan klinik utama beroperasi untuk menerima kebanjiran pesakit.

– AGENSI

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373