8.85 peratus usahawan gulung tikar pada April 2020 akibat COVID-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kira-kira 8.85 peratus usahawan gulung tikar pada April 2020 selepas terkesan akibat pandemik COVID-19 dan kenaikan harga barangan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.

-Advertisement-

Beliau berkata, berdasarkan data kaji selidik yang dilaksanakan kementeriannya bagi tempoh 2020 hingga 2022, kesan pandemik dan kenaikan harga barangan menyebabkan sebilangan kecil usahawan terpaksa menutup terus operasi perniagaan mereka.

Katanya, kaji selidik itu turut menyatakan 3.16 peratus usahawan gulung tikar pada Jun 2021, diikuti 1.38 peratus pada Februari 2022 dan 2.7 peratus pada November 2022.

“Dalam usaha membantu usahawan yang terjejas, KUSKOP menerusi agensi di bawahnya melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan dengan menyediakan bantuan pinjaman kewangan antaranya skim pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Agensi pembiaya di bawah KUSKOP juga mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan serta memendekkan tempoh masa memproses permohonan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta kementerian menyatakan jumlah usahawan yang gulung tikar susulan kelembapan ekonomi semasa dan usaha yang dilaksanakan untuk membantu usahawan terjejas.

Selain itu, Ewon berkata, KUSKOP dan agensi di bawahnya bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan program intervensi peluang kedua bagi membantu usahawan yang berdepan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis.

-Advertisement-

Katanya, pada 2022, seramai 664 orang usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.

Daripada jumlah itu, seramai 40 usahawan dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) selama empat bulan bermula 17 Oktober 2022.

“SME Corp juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AKPK pada 3 Februari lalu sebagai usaha untuk membantu PMKS dalam pendidikan dan pengurusan kewangan dan kredit.

“Kerjasama strategik ini dilihat dapat membantu dan memudahkan PMKS membuat keputusan dalam menguruskan kewangan secara bijak dan berhemah, terutamanya dalam era pasca pandemik,” katanya.

– BERNAMA

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427