CAMERON HIGHLANDS 5 Oktober 2026 (The Capital Post) – Sebanyak 805 pusat pengumpulan di seluruh negara kini menyokong usaha kitar semula bekas racun perosak menerusi Program Agro-Lestari: Transformasi Ekonomi Kitaran Melalui Kitar Semula Bekas Racun Perosak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.
Program anjuran Jabatan Pertanian itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin di Cameron Highlands, semalam, sebagai antara usaha memperkukuh amalan kelestarian serta pengurusan sisa pertanian secara bertanggungjawab.
Menerusi tema “Jom Bilas Tiga Kali!”, program berkenaan menggalakkan pengurusan bekas racun perosak yang betul dan selamat bagi mengurangkan risiko pencemaran serta menyokong amalan pertanian yang lebih bertanggungjawab.
Inisiatif yang diperkenalkan di Cameron Highlands sejak 2003 itu menunjukkan perkembangan berterusan dengan penambahan pusat pengumpulan di seluruh negara bagi memudahkan komuniti tani menguruskan bekas racun perosak selepas digunakan.
-Advertisement-
Jumlah kutipan turut meningkat daripada 206 tan pada 2024 kepada 286 tan pada 2025, manakala sebanyak 111.51 tan telah dikumpulkan sehingga Jun 2026.
Usaha berkenaan turut melibatkan kerjasama kerajaan bersama pengeluar, pengedar, agensi berkaitan dan komuniti tani dalam memperkukuh amalan ekonomi kitaran, selain menyokong pembangunan sektor agromakanan negara yang lebih lestari, bertanggungjawab dan berdaya tahan – The Capital Post