85,000 Mahasiswa UiTM Sertai Wacana Patriotisme

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM 5 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kira-kira 85,000 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai Wacana Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam Malaysia 2026 yang dianjurkan sebagai platform memperkukuh keilmuan, jati diri dan semangat tanggungjawab generasi muda terhadap pembangunan negara.

Program yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam itu menghimpunkan sekitar 5,000 mahasiswa secara bersemuka, manakala lebih 80,000 peserta mengikuti pengisiannya menerusi penstriman langsung dalam talian.

Mengangkat tema “Pewaris Amanah Bangsa, Penggerak Masa Depan Negara”, seminar anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dengan kerjasama UiTM itu menampilkan ucaptama, syarahan, ulasan, komentar serta sesi dialog dan diskusi berkaitan sejarah perjuangan bangsa, peranan mahasiswa dan hala tuju masa depan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merasmikan program berkenaan menegaskan kepentingan mahasiswa mengamalkan kebebasan berfikir berasaskan ilmu dan bukti, khususnya ketika berhadapan dengan lambakan maklumat yang tersebar pantas melalui media sosial.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya mengamalkan prinsip tabayyun dengan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya, kerana kepantasan penyampaian tidak semestinya menjamin ketepatan.

Menurut beliau, mahasiswa juga perlu menguasai kepakaran merentas bidang serta bersedia mendalami teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selain menggalakkan UiTM meneroka bidang teknologi kuantum sebagai persediaan menghadapi perkembangan ilmu dan ekonomi pada masa hadapan.

-Advertisement-

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menerusi syarahan bertajuk “Sejarah Perjuangan Bangsa Mencorak Masa Depan Negara” berkata institusi universiti perlu terus berperanan sebagai medan pembinaan insan melalui penguasaan ilmu, pembentukan akhlak dan penerapan adab.

Beliau turut menggariskan tiga keupayaan utama yang perlu dibangunkan mahasiswa, iaitu menjadi pencari ilmu, penyelesai masalah dan pembina negara. Beliau juga menyentuh perkembangan UiTM yang bermula sebagai Dewan Latihan RIDA pada 1956 sebelum berkembang menjadi institusi pendidikan tinggi dengan kira-kira 180,000 mahasiswa serta lebih sejuta graduan.

Mengakhiri amanatnya, Ahmad Zahid menitipkan tiga tanggungjawab kepada mahasiswa, iaitu memerdekakan pemikiran, menguasai kepakaran dan berkhidmat dengan penuh amanah. Beliau turut menekankan keperluan memastikan laluan daripada pendidikan tinggi kepada pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan terus diberi perhatian agar ilmu dan kemahiran graduan dapat dimanfaatkan melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta sumbangan kepada negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan; Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Dato’ Dusuki Ahmad; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohamed Kamil Jamil; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki – The Capital Post