89 Warga LGM Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI BULOH, 9 Jun 2026 (The Capital Post) – Seramai 89 pegawai dan warga kerja Lembaga Getah Malaysia (LGM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Akademi Hevea Malaysia, Stesen Penyelidikan RRIM, Sungai Buloh hari ini.

Majlis tersebut diadakan sebagai pengiktirafan kepada warga LGM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, komitmen tinggi serta dedikasi luar biasa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri getah negara.

Dalam ucapannya, Noraini menegaskan bahawa LGM bukan sekadar sebuah agensi teknikal, malah merupakan institusi strategik yang memainkan peranan penting dalam memacu penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi serta pembangunan industri getah negara.

Beliau berkata usaha berterusan LGM dalam memperkukuh penyelidikan dan pembangunan mampu memastikan industri getah Malaysia terus relevan, berdaya saing serta memberi manfaat kepada rakyat dan pemain industri dalam menghadapi cabaran pasaran global.

-Advertisement-

Noraini turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima APC dan penerima pengiktirafan khas atas pencapaian yang diraih sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, kecemerlangan yang diraikan bukan sahaja mencerminkan komitmen individu, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kerja yang berintegriti, inovatif dan berorientasikan penyelesaian dalam memperkukuh sektor agrikomoditi negara.

Menurut perkongsian Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), pengiktirafan tersebut diharap dapat terus menyuntik semangat kepada warga LGM untuk mengekalkan tahap profesionalisme dan kecemerlangan perkhidmatan dalam memajukan industri getah Malaysia. – The Capital Post