AKP 2026: 181 Pelajar SPM Terima Pengiktirafan Kecemerlangan

Estimate Reading Time: 1 minute

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan telah mengiktiraf pencapaian cemerlang anak-anak warga pertahanan melalui Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026 yang berlangsung di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, dan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin yang menyampaikan anugerah sebagai tanda penghargaan terhadap usaha, disiplin serta kecemerlangan akademik para penerima.

Seramai 181 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025 telah menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SPM. Selain itu, 32 penerima turut menerima Bantuan Universiti Awam, manakala 5 penerima lagi menerima Bantuan Universiti Luar Negara bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan keluarga warga pertahanan di samping memastikan kesinambungan pendidikan generasi masa depan terus terpelihara. Bagi tahun 2026, Kementerian Pertahanan memperuntukkan sejumlah RM464,400 yang memberi manfaat kepada 605 penerima melalui pelbagai program bantuan pendidikan dan insentif akademik.

Daripada jumlah tersebut, RM166,000 disalurkan kepada 159 penerima melalui bantuan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam dan Universiti Luar Negara, manakala RM298,400 lagi diperuntukkan kepada 446 pelajar cemerlang melalui Insentif Akademik AKP SPM 2026 sebagai pengiktirafan dan motivasi kepada calon cemerlang SPM 2025.

Pelaksanaan inisiatif pendidikan berskala besar ini selaras dengan Fokus Keenam Kementerian Pertahanan bagi tahun 2026 yang menekankan kebajikan serta pemerkasaan sosioekonomi warga pertahanan sebagai agenda utama.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Haji Malek Razak bin Sulaiman; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin; pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli keluarga penerima anugerah. Maklumat ini adalah berdasarkan perkongsian rasmi di Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia. – The Capital Post

-Advertisement-