Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kes bergejala serius akan dijadikan sebagai indikator baharu peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa 2 dan 3.

-Advertisement-

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia akan menggunakan proksi kes kemasukan hospital baharu COVID-19 yang disesuaikan untuk Kategori 3, 4 dan 5.

“Walau bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan ICU masih dikekalkan,” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) ke-64.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, berdasarkan data dan sains, kadar vaksinasi penduduk yang tinggi mengurangkan insiden kes bergejala serius.

“Pemerhatian ini selaras bukan sahaja dengan pengalaman antarabangsa tetapi juga untuk Sarawak dan Labuan.

Beliau menjelaskan, selepas negara mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduk dewasa dan ke atas, bilangan kes baharu COVID-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakannya adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (Kategori 1 dan

2), sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam.

“Perlis sudah pun menepati semua nilai ambang sebelum ini untuk beralih ke Fasa 3, manakala Sarawak pula, kadar vaksinasi telahpun mencapai kadar 63.7 peratus penduduk dewasa, melepasi nilai ambang bagi Fasa 4 untuk indikator ini iaitu 60 peratus.

-Advertisement-

“Pengalaman Sarawak adalah dengan peningkatan vaksinasi, bilangan kes di ICU telah menurun dengan ketara bukan sahaja di bawah 50 peratus iaitu nilai ambang Fasa 3 tetapi ke tahap hanya 29 peratus.

“Walaupun jumlah kes COVID-19 di Sarawak melebihi 300 sehari tetapi bilangan kes setiap hari yang dikenal pasti Kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 kes atau dua peratus daripada kes yang dilaporkan,” katanya.

Bagi Labuan pula, beliau berkata, situasi di wilayah berkenaan adalah satu kejayaan memandangkan tidak lama dahulu, ia mengalami keadaan tenat dengan penularan tidak terkawal.

Namun, tegasnya, dengan langkah yang diambil terutama gerakan vaksinasi secara besar-besaran, kes COVID-19 baru serta kes di ICU jatuh dengan ketara.

“Situasinya sama seperti Sarawak tetapi lebih ke hadapan, dengan kadar vaksinasi sudah mencecah 80 peratus penduduk dewasanya. Kadar vaksinasi yang tinggi ini menyumbang kepada pengurangan pesakit dalam wad ICU sehingga ke tahap hanya 20 peratus.

“Selaras dengan pengalaman Sarawak, maka Labuan juga menunjukkan penurunan kes baharu secara keseluruhan dan kejatuhan ketara kes di ICU yang sangat rendah seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk,” katanya.

-BH