Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 3 Apr 2023 (The Capital Post): Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin apabila langkah mengejut oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) pada hujung minggu menjejaskan sentimen pasaran, kata seorang pakar ekonomi.

-Advertisement-

Pada Ahad, Arab Saudi dan pengeluar minyak OPEC+ lain dilaporkan mengumumkan pengurangan lanjut kuota pengeluarannya sebanyak lebih 1.2 juta tong sehari.

Ketika ini, indeks penanda aras minyak mentah Brent meningkat sebanyak 5.70 peratus kepada AS$84.44 setong.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4200/4240 berbanding dolar AS berbanding kadar penutup Jumaat lalu pada 4.4120/4170.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu mungkin mencadangkan bahawa inflasi boleh terus meningkat jika harga minyak kekal pada tahap tinggi.

Beliau berkata pasaran turut memfokuskan pada beberapa data penting yang akan dikeluarkan minggu ini termasuk data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan ISM Amerika Syarikat (AS) yang dijangka rendah sedikit pada 47.5 mata untuk bulan Mac (Feb: 47.7 mata) berdasarkan anggaran konsensus.

Begitu juga, Perubahan Pekerjaan Bukan Ladang Pemprosesan Data Automatik (ADP) AS yang dijangka turun kepada 200,000 pada bulan Mac daripada 242,000 pada Februari manakala Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) dianggarkan berkurangan menjadi 240,000 pada Mac berbanding 311,000 pada Februari.

“Justeru, kami mengunjurkan gandingan ringgit/dolar AS kekal dalam julat yang ketat antara RM4.41 dan RM4.42 kerana peserta pasaran mahu menilai data yang bakal diumumkan dan bagaimana kenaikan harga minyak berperanan terhadap inflasi,” katanya.

-Advertisement-

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.4388/4437 daripada 5.4580/4636 pada penutup Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.7793/7837 daripada 4.8036/8084, tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.3221/3253 daripada 3.3083/3122 sebelumnya.

Pada masa yang sama, berbanding mata wang Asean, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.3171/3203 daripada 3.3185/3224 pada penutup Jumaat, lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.11/8.15 daripada 8.12/8.13 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8919/9093 daripada 12.9031/9220 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 294.60/295.10 daripada 294.20/294.70 pada penutup Jumaat.

– Bernama -BH

(The Capital Post)