‘RMK-12 mesti dilaksana secara progresif, berani dan realistik’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan perancangan sederhana tetapi progresif, berani dan realistik dapat diterjemah secara wajar dan bijaksana dalam menguruskan perancangan strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

-Advertisement-

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata ia bagi memastikan rakyat benar-benar mendapat manfaat daripada rancangan pembangunan lima tahun itu disamping ekonomi negara dapat kembali dipulihkan.

“RMK-12 memberi keutamaan untuk menambahkan pendapatan, menghapuskan kemiskinan mutlak dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah dalam tempoh lima tahun mendatang ini.

“Paling penting ialah sembilan fokus utama di bawah RMK-12 ini benar-benar memberi kesejahteraan rakyat, kesejahteraan kesihatan awam serta kesejahteraan ekonomi dalam Program Pemulihan Negara, moga rakyat Malaysia terus dilindungi di bawah satu gagasan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, RMK-12 juga menunjukkan terjemahan seorang pemimpin tertinggi negara yang mendengar keluhan rakyat, berkehendakkan kehidupan berkualiti serta negara mencapai pendapatan tinggi seiring pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang mampan.

-Advertisement-

“Pengenalan konsep Keluarga Malaysia dalam perancangan RMK-12 adalah sangat wajar pada waktunya. Matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amatlah jelas bahawa negara ini tidak akan membangun dengan jaya jika kita tidak ketepikan segala perbezaan di antara rakyat demi perpaduan bersama.

“Justeru, kita harus kebersamaan dalam arah tuju Perdana Menteri. Kejayaan Keluarga Malaysia bukanlah kejayaan buat individu tetapi kejayaan setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, demi menjayakan Keluarga Malaysia untuk bangkit semula daripada kemelut COVID-19, usaha setiap rakyat hendaklah menjurus kepada menterjemahkan konsep ini kepada rancangan dan tindakan yang konkrit.

“Hanya dengan inklusitiviti saja, kita mampu menjayakan Keluarga Malaysia,” katanya. -BH