KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan anggotanya membuat serbuan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan dikatakan melakukan pemerasan.
-Advertisement-
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata siasatan dijalankan susulan rakaman video dan kenyataan berhubung kejadian itu dimuat naik menerusi akaun Facebook ‘En Abdul’, pada jam 1 tengah hari semalam
Katanya, semakan mendapati rakaman video itu memaparkan serbuan oleh empat anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
-Advertisement-
“Pihak polis mengesahkan serbuan dilakukan oleh BSJN IPD Petaling Jaya di Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 10 Oktober 2024 ketika Op Tapis di kawasan Damansara.
“Siasatan dibuka bagi menyiasat dakwaan yang ditularkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya wujud salah laku dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menerusi hantaran yang tular, pengadu mendakwa empat anggota polis terbabit menyerbu kediamannya tanpa waran selain memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) serta mengambil kad memori CCTV terbabit.
Pengadu mendakwa diperas oleh anggota polis terbabit untuk membayar RM12,000.
-BeritaHarian