KUALA LUMPUR: Bank-bank tempatan dilihat mula menyesuaikan pendekatan pembiayaan dengan memberi keutamaan kepada segmen hartanah berharga tinggi, satu strategi yang dilihat lebih memfokuskan peminjam berpendapatan besar serta berprofil risiko kredit yang lebih rendah.
Berdasarkan nota kajian CIMB Securities, meskipun pertumbuhan keseluruhan pinjaman isi rumah menunjukkan tanda perlahan, pembiayaan bagi hartanah bernilai RM500,000 dan ke atas mencatat peningkatan yang ketara.
Penganalisis CIMB Securities, Ei Leen Tan, berkata pertumbuhan pinjaman isi rumah kini berada dalam fasa menurun, daripada 6.0 peratus pada Disember 2024 kepada 5.3 peratus pada Disember 2025.
Trend penurunan itu sebahagian besarnya berpunca daripada pertumbuhan gadai janji kediaman yang semakin lembap.
Bagaimanapun, dalam persekitaran itu, bank dilihat lebih cenderung untuk meningkatkan pembiayaan kepada segmen hartanah mewah.
“Secara khususnya, bank telah mengalihkan pembiayaan ke arah hartanah kediaman dalam kumpulan harga yang lebih tinggi iaitu RM500,000 hingga RM1 juta yang meningkat 8.1 peratus tahun ke tahun (YoY).
“Bagi hartanah melebihi RM1 juta pula, ia meningkat 5.5 peratus YoY, disokong oleh peminjam berpendapatan tinggi yang berkemungkinan mempunyai risiko kredit yang lebih rendah,” katanya dalam laporan tinjauan sektor perbankan itu.
Situasi ini memberi gambaran bahawa pembiayaan bagi perumahan mampu milik berpotensi menjadi lebih sukar diperoleh berbanding segmen hartanah berharga tinggi.
Dalam masa sama, laporan berkenaan turut meneliti aspek kualiti aset, yang menunjukkan sedikit tekanan dalam pinjaman automotif dan kad kredit, walaupun secara keseluruhan kualiti aset sistem perbankan masih berada pada tahap yang memuaskan.
-Advertisement-
CIMB Securities memaklumkan bahawa pinjaman terjejas kasar (GIL) bagi sektor automotif meningkat 19.5 peratus YoY, manakala GIL bagi kad kredit tidak bercagar bertambah 10.6 peratus.
“Walaupun GIL segmen automotif semakin meningkat, nisbah GIL segmen itu pada Disember 2025 kekal terkawal pada 0.58 peratus.
“Sementara itu, GIL kad kredit tidak bercagar meningkat 10.6 peratus YoY pada Disember 2025, dengan nisbah GIL yang masih boleh urus pada 0.88 peratus,” jelas laporan itu.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘Overweight’ terhadap sektor perbankan, dengan Public Bank Bhd, Maybank dan Affin Bank Bhd disenaraikan sebagai pilihan utama bagi pendedahan sektor tersebut.
-Beritaharian