KUANTAN: Seorang pemandu teksi maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 143 Jalan Kuantan–Segamat, berhampiran jambatan timbang Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Rompin, malam tadi.
Mangsa, Abdul Rahman Yusoff, 60, dari Kota Bharu, Kelantan, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah selepas terbabit dalam nahas membabitkan sebuah Toyota Vios, Proton Wira dan Perodua Alza kira-kira jam 11.20 malam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Vios berusia 26 tahun itu dalam perjalanan dari Segamat ke Kuantan, manakala dua lagi kenderaan dari arah bertentangan.
Menurutnya, pemandu Toyota Vios dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua kenderaan lain.
“Pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-Advertisement-
Beliau berkata, isteri pemandu teksi berusia 58 tahun, anak lelaki berusia 20 tahun serta cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun turut cedera dalam kejadian itu.
Katanya, pemandu Toyota Vios turut mengalami kecederaan manakala pemandu Proton Wira berusia 56 tahun tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat BSPTD Rompin, Inspektor Nor Asyiqin Daud di talian 011-10815434 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-BeritaHarian