Bekas Jurutera Didakwa Cuba Rompak Kedai Emas, Miliki Pisau dan Tukul Besi

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Seorang bekas jurutera dihadapkan ke mahkamah berasingan di sini atas tuduhan cuba merompak sebuah kedai emas serta memiliki senjata berbahaya di sebuah pusat beli-belah awal bulan ini.

Lelaki berkenaan, Teo Chun Siong, 41, dituduh di Mahkamah Majistret atas cubaan merompak kedai emas di Paradigm Mall kira-kira jam 5 petang, 6 Februari lalu.

Di Mahkamah Sesyen, Chun Siong didakwa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Mohd Zamir Suhaimee atas lima pertuduhan memiliki tukul besi dan beberapa bilah pisau antara jam 5.30 petang hingga 6 petang di hadapan kedai emas dan di tempat letak kenderaan pusat beli-belah yang sama pada tarikh tersebut.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret, Chun Siong yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan di Mahkamah Sesyen pula dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357), yang boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

-Advertisement-

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin keseluruhan RM41,000. Chun Siong diperintahkan hadir ke mahkamah untuk sebutan semula pada 3 Mac depan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam, Shamira Mohd Luthfi Ismail dan R Navina, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Mohd Nasir dan Ahmad Yusri Ahmad Fuad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha, sebelum ini memaklumkan pihaknya berjaya menahan lelaki terbabit dan merampas semula barangan kemas bernilai lebih RM158,000 yang dirompak dari kedai emas tersebut.

-Berita Harian