Jualan kereta di Malaysia melonjak kepada 64,298 unit bulan lalu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi Januari 2026 melonjak sebanyak 27 peratus kepada 64,298 unit berbanding 50,449 unit pada bulan sama tahun lalu, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA dalam satu kenyataan hari ini berkata, TIV yang lebih tinggi pada Januari 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu adalah hasil kesan limpahan daripada pelancaran model baharu pada penghujung 2025.

“Dari segi jualan mengikut segmen, kenderaan penumpang meningkat 28 peratus kepada 60,369 unit berbanding 47,019 unit tahun lalu.

“Jualan kenderaan komersial pula naik 15 peratus kepada 3,929 unit berbanding 3,430 unit dalam tempoh sama,” katanya.

Namun, berdasarkan perbandingan secara bulanan, MAA berkata, TIV Januari 2026 adalah 29 peratus lebih rendah berbanding Disember 2025.

Katanya, penyusutan itu berpunca daripada pembelian awal pada Disember 2025 yang mencatatkan 90,716 unit, iaitu TIV bulanan tertinggi dalam sejarah industri automotif negara.

-Advertisement-

Bagi prospek Februari 2026, MAA menjangkakan jualan kekal sederhana berikutan tempoh bekerja yang lebih singkat iaitu 17 hari bekerja susulan cuti Tahun Baharu Cina.

Dari segi pengeluaran, jumlah keseluruhan kenderaan pada Januari 2026 meningkat enam peratus kepada 60,866 unit berbanding 57,450 unit setahun sebelumnya.

“Pengeluaran kenderaan penumpang naik enam peratus kepada 57,367 unit berbanding 54,345 unit, manakala kenderaan komersial meningkat 13 peratus kepada 3,499 unit berbanding 3,105 unit,” katanya.

-Beritaharian